Malaysia ialah sebuah negara yang semakin pesat membangun selari
dengan perkembangan sains, teknologi dan inovasi yang meliputi aspek
pendidikan, pertanian, pembangunan dan sebagainya. Sesebuah negara akan dilihat
mundur dan ketinggalan jika pencapaian sains, teknologi dan inovasi masih di
tahap yang rendah. Menyedari hakikat ini, kerajaan Malaysia telah menitik
beratkan perkembangan dan penambahbaikan aspek ini dalam segenap bidang yang
terdapat di negara kita. Sebagai contoh, menerusi Pelan Tindakan Fasa 2
(2011-2015), Kementerian Pengajian Tinggi telah menggariskan bahawa fokus
khusus akan diletakkan kepada aspek pembangunan prasarana intelektual, sahsiah
pelajar, kurikulum, penyelidikan, pembangunan dan inovasi serta
mempertingkatkan penggunaan teknologi dalam proses pembelajaran dan pengajaran,
termasuk melalui pembelajaran secara atas talian dan pengajian jarak jauh. Hal ini menunjukkan bahawa pihak governan
sentiasa menjaga dan meningkatkan status sains, teknologi dan inovasi di
Malaysia dalam bidang pendidikan terutamanya demi menghasilkan generasi pelajar minda kelas pertama.
Aspirasi murni untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi amat
berlandaskan kepada ekonomi berasaskan sains, teknologi dan inovasi. Atas dasar
itu, peningkatan keupayaan institusi
pengajian tinggi negara, awam dan swasta perlu sentiasa diusahakan melalui
pendekatan inovatif. Maka tidak hairanlah semakin banyak institusi pendidikan
yang giat menjalankan kegiatan penyelidikan dan pembangunan seperti Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Putra
Malaysia (UPM).
Banyak pencapaian yang telah dicapai oleh negara kita menerusi teknologi dan inovasi dalam bidang pendidikan termasuk peringkat antarabangsa dan dalam negara. Malaysia telah menunjukkan pencapaian yang membanggakan di peringkat antarabangsa bermula November 2009 hinggalah Julai 2012. Antara pencapaiannya adalah memenangi tempat kedua selama dua tahun berturut-turut dalam World Robot Olympiad (WRO), Korea Selatan dan memenangi pingat emas dalam kategori reka cipta pendidikan dalam The Invention and New Product Exposition, Amerika Syarikat. Tidak kurang hebatnya juga pencapaian dalam negara iaitu sebanyak 66 buah sekolah telah dianugerah Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) di Malaysia.
Walaupun negara mempunyai banyak
pencapaian dalam bidang tersebut, namun kesan negatif juga sedikit sebanyak
telah mempengaruhi rakyat terutamanya golongan belia yang majoritinya adalah pelajar. Kemudahan gadjet dan
capaian internet telah disalah gunakan oleh segelintir golongan ini. Hal ini
turut membimbangkan apabila keruntuhan moral generasi muda semakin kritikal dan
akan semakin kronik jika tiada usaha pencegahan dilakukan. Perkara ini akan
menjejaskan prestasi negara dalam pelbagai bidang termasuk sains, teknologi dan
inovasi dalm pendidikan jika generasi pemimpin dan intelektual semakin berkurang kualitinya. Saban hari, semakin banyak masalah berkaitan kelakuan dan disiplin pelajar yang dilaporkan dalam dada akhbar yang pastinya akan menjejaskan prestasi negara dalam segenap bidang jika langkah mengatasinya tidak diambil. Kemudahan teknologi dengan konsep maklumat di hujung jari masa kini membuatkan generasi Y mudah terpengaruh dengan budaya Barat yang hedonistik. Fokus untuk meningkatkan tahap penguasaan terhadap ilmu menggunakan kemudahan teknologi yang sedia ada semakin dilupakan.
Namun, bagi memastikan kelangsungan pencapaian negara dalam bidang pendidikan pada masa hadapan, kerajaan juga telah menjalankan pelbagai inisiatif yang
sepatutnya seperti 1) pertukaran idea dan kemahiran dengan negara luar, 2) menubuhkan
institusi berasaskan kemahiran serta menggalakkan dan 3) menyediakan biasiswa
kepada pelajar dalam bidang sains dan teknologi. Oleh itu, negara akan terus konsisten dalam
menerokai bidang tersebut dan mampu berdiri sama taraf dengan negara asing. Selain itu, antara cadangan bagi mengekangi isu ini, institusi kekeluargaan perlu dititik beratkan di mana 4) ibu bapa perlu mengambil langkah yang lebih agresif dalam memantau aktiviti dan penglibatan anak-anak dalam aktiviti seharian mereka. Kemudahan teknologi di setiap rumah perlu dipantau dan ditapis supaya tidak disalah gunakan. 5) Guru-guru dan pensyarah juga perlu bijak mengaplikasikan teknologi dan inovasi dalam sukatan pengajaran mereka supaya dapat menarik minat pelajar dan relevan dengan keadaan semasa seperti e-learning dan Massive Open Online Courses (MOOC).
This comment has been removed by the author.
ReplyDeleteKemudahan teknologi sememangnya memainkan peranan yang penting dalam pendidikan dengan membawa pelbagai manfaat untuk mencapai kemajuan dalam bidang ini. Akan tetapi, kemudahan tersebut turut mendatangkan kesan-kesan negatif terutamanya bagi golongan remaja yang belum dapat berfikiran matang dan menyebabkan keruntuhan moral iaitu berlakunya pelbagai gejala sosial. Cadangan yang diberikan untuk mengatasi masalah tersebut amat mantap dan seharusnya dilaksanakan oleh pihak-pihak berkenaan supaya generasi masa kini tidak sesat jalan dalam era perkembangan teknologi yang semakin maju ini.
ReplyDeleteChai Soon Chyuan
A159405